Sunday, March 15, 2009
Pulut Lepee & Sata
Pulut Lepee (Lepa) Terengganu - Ladang, Kuala Terengganu
Kalau di negeri-negeri lain bentuknya sama seperti pulut panggang atau pulut udang tetapi rasa dan bahannya adalah berbeza. Pulut Lepee asasnya pulut berintikan serondeng ikan, dipanggang di atas bara tempurung kelapa yang menambahkan lagi keenakannya. Ianya lazat dimakan ketika panas-panas sehinggakan Mem aku yang berasal dari Utara pun sukakan pulut lepee ni daripada pulut udangnya.
Setahu aku gerai yang best yang menjual pulut ini ada 2 tempat iaitu satu di persimpangan antara Wisma Persekutuan dan Stesen Minyak Caltex di Kuala Terengganu. Malangnya aku tidak berapa pasti jika tuan punya gerai ini masih berniaga kerana selalunya aku pergi ia tidak dibuka. Satu lagi gerai terletak tidak jauh daripada situ, daripada bulatan Ladang / Batu Bersurat masuk ke jalan yang menuju ke Kg Tanjung, betul-betul di tepi pagar Sekolah Ren. Agama Ladang, tak salah aku dan di hadapan kedai kasut Bata. Gerai ini tidak menghampakan aku, kerana selalunya aku pergi mesti ada tetapi jika lambat pasti kempunan. Hanya RM1 untuk 3 pulut lepee memang best tetapi aku selalu kempunan Sata yang selalu habis. Waktu beroperasi 2pm - 3.30pm dan tutup awal jika dah habis. Untuk tempahan boleh menelefon, 019 954 4001 - Pulut Lepee depan kedai kasut Bata, Ladang.
Restoran Payang Serai - Kuala Terengganu
Kalau aku balik kampung, sudah semestinya agenda aku dipenuhi dengan acara makan, balas dendam katakan! Hari itu waktu makan tengahari pun sudah 3 jam berlalu tetapi aku dan Mem belum pun mengisi perut. Aku telah bercadang mencuba masakan di restoran ini, khabarnya yang aku terbaca di ruangan selera salah sebuah akhbar tempatan. Restoran ini terletak di lokasi yang amat mudah ditujui, bersebelahan dengan Felda Residences Hotel, di Kuala Terengganu. Setahu aku ianya baru dibuka beberapa bulan, tahun lepas. Mempunyai ruang makan dua tingkat, terletak di tepi Sungai Terengganu menggamitkan lagi selera sambil dibuai bayu sepoi-sepoi bahasa.
Oleh kerana keistimewaan hidangan restoran ini adalah lauk-pauk makanan laut dengan pelbagai cara masakan ala Cina maka menu pilihan aku pada hari itu bermula dengan minuman istimewanya, Payang Serai Cooler (RM5), Butter Soft Shell Crab (RM24, saiz S), Seafood Soup (RM12), Kerapu - Ban Suan (RM33).
Masakan ikan kerapu tersebut di-stim di dalam sejenis sos masam beserta ramuan seperti serai, halia, dan sebagainya beserta kacang. Manakala Butter Soft Shell Crabnya amat rangup dengan rasa manis-manis berlemak, digorengkan dengan jala-jala mentega sehinggakan aku meratahnya sehingga licin. Rasa Seafood Soupnya sememangnya rasa seafood, tidak seperti yang pernah aku nikmati di lain-lain tempat yang banyak menggunakan sos ikan atau bahan perasa tambahan. Rasa Payang Serai Cooler iaitu minuman istimewanya sangat unik, ia merupakan koktail buah-buahan seperti nenas, oren, epal bersama aiskrim soda.
Sambil menikmati menu-menu tersebut, sesekali aku menikmati pemandangan sungai serta Jambatan Sultan Mahmud dan Masjid Kristal yang tidak jauh kelihatan. Memang tidak dinafikan semua pilihan hidangan yang aku cuba ini amat berbaloi rasanya. Keseluruhan harga menu pilihan kami pada hari itu ialah RM80+, boleh dikatakan berpatutan tetapi amat berbaloi! Jika berkesempatan untuk berkunjung lagi ke restoran ini aku akan mencuba hidangan lain pula, mungkin menyelerakan!
Point Laparnya:
Keseluruhan - 4.5
Harga - 3.5
Suasana - 5.0
Kesedapan - 5.0
Servis - 4.5
Labels:
Makan Makan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
sedakkkkkkkkkk ahhh tekk pulut leperr...
Post a Comment